Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Aidiladha yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk diqurbankan.” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib).
1) Hukum qurban?
Hukum qurban adalah sunnah muaakad. Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan qurban.
2) Waktu melaksanakan qurban
Pada hari Raya Aidiladha (Hari Raya Haji) sehingga akhir hari tasyriq (3 hari)
3) Bilakah waktu berniat qurban?
- ketika menyembelih.
- Harus juga sebelum menyembelih asalkan setelah ditentukan binatang korbannyn
- dan setelah masuk waktu berkorban.
4) Jenis haiwan
- Biri biri, kibas yang sudah ada gigi depan (setahun atau kurang dari setahun namun lebih dari 6 bulan)
- Kambing (mesti 2 tahun atau lebih)
- Lembu (2 tahun ke atas)
- Unta (5 tahun ke atas)
SAH jika dari haiwan tersebut sama ada betina atau jantan (namun yang afdhal adalah betina,kerana isinya lebih). Jika haiwan itu khunsa (ada 2 alat kelamin) juga tetap sah.
5) Haiwan yang paling afdhal untuk dikorban
Pertama Unta
Kedua lembu
Ketiga kambing
6) Warna haiwan yang paling afdhal?
Pertama putih
Kedua kuning
Ketiga kelabu
Keempat hitam
7) Haiwan yang tidak sah dibuat qurban:
- Cacat penglihatan. Namun kata Imam Syafie, jika selaput yang menutup matanya dan jika ianya sedikit maka dibolehkan
- Tempang yang teruk
- Sakit. Seperti rosak dagingnya dan membawa penyakit dan mudarat jika memakannya maka tidak boleh dibuat qurban
- Terlalu kurus
- Gila
- Kekurangan anggota seperti tiada telinga sebelah atau kaki
8) Adakah boleh berkongsi ibadah qurban pada satu haiwan?
Unta dan lembu boleh sehingga 7 orang jika mahu berkongsi untuk sembelih. Dan mesti tidak boleh lebih dari 7 orang.
Jika kambing maka ianya tidak boleh berkongsi. Hanya seorang sahaja yang boleh.
9) Bagaimana jika yang sembelih itu wakil bukan kita?
Maka wajib niat ketika kita mewakilkan kepada orang tersebut,atau pun menyuruh orang yang diwakilkan berniat untuk kita.
10) Bolehkah buat korban untuk orang keluarga yang sudah meninggal?
Boleh jika sekiranya ketika si mati ada buat wasiat, namun kita boleh walaupun ia tidak mewasiatkan kerana korban dianggap sedekah,dan sedekah boleh walaupun tanpa ada wasiat dari si mati, ianya tetap sah.
11) Perkara yang sunnah dilakukan qurban:
- Sunnah yang menyembelih adalah lelaki
- Sunnah melihat haiwan yang dikorbankan. Hadis Nabi SAW berkata kepada saidatina Fatimah, “Pergilah kepada qurban kamu dan lihatla ia kerana sesungguhnya titisan darah yang pertama itu mengampunkan dosa kamu apa yang telah berlalu.”
- Dan disunnahkan kepada orang yang ingin membuat ibadah korban untuk tidak memotong rambut dan kukunya sehingga dia sudah melakukan korban,kerana makruh berbuat demikian. Dan hadis Rasulullah SAW, “Jika kalian melihat bulan zulhijjah dan kalian mahu lakukan korban maka tahanlah rambut dan kuku kalian (jangan potong).” riwayat Muslim. Maksudnya sama ada rambut,misai dan janggut makruh dipotong, dan bulu yang lain-lain.
- Sunnah pilih haiwan yang gemuk dan banyak isinya
- Memakai pisau yang lebih tajam untuk memutuskan urat leher haiwan.
12) Bagaimana cara pembahagian daging qurban?
Harus dibahagikan kepada 3 bahagian:
- 1/3 fakir miskin
- 1/3 orang kaya
- 1/3 mudhahhi .
Tetapi yang afdhal disedekahkan kesemuanya dan memakannya sedikit sahaja (hati).
13) Bagaimana keadaan daging itu disedekah dan dihadiahkan?
Dalam keadaan mentah.
14) Bagaimana cara pembahagian daging qurban wajib?
Wajib disedekahkan kesemuanya.
15) Apakah perkara yang diharuskan bagi penerima yang bukan fakir miskin terhadap daging qurban?
- Memakannya
- Menyedekahkannya dalam keadaan mentah kepada fakir miskin yang Islam
- Menjamu orang Islam (kaya atau fakir miskin).
16) Apakah perkara yang dilarang bagi penerima yang bukan fakir miskin terhadap daging qurban?
- Menjualnya samada mentah atau masak
- Menghadiahkannya kepada orang kaya
- Menjamu orang kafir.